Isnin, 11 Februari 2013

Tekad Dan Niat


Hari demi hari silih berganti, semakin banyak yang dilalui dugaan datang dan pergi, berlaku dan berlalu jadi kenangan. Namun kehidupan perlu diteruskan, apa pun keadaan, apa pun yang datang harus diharungi jua, suka mahupun duka, inilah lumrah. Tiada istilah sabar lagi kerana semuanya harus ditempuh dan dihadapi.


Kini Februari datang lagi, menambah angka maka bertambah usia, tiada impian, tiada harapan, tiada angan-angan, hanya mampu menanam tekad dan niat. Di usia ini, aku hanya ingin  lebih fokus pada apa yang aku ada, kerja dan tanggungjawab pada seorang cahaya mata, yang kini semakin membesar yang memerlukan perhatian dari aku sepenuhnya. Hanya aku dan dia yang lebih penting dalam hidup ini, kerana dialah nyawaku. 

wajah saat menghadapi tekanan yang tak mampu diluahkan

Tentang kerjaya, aku hanya berserah, kemana aku pergi disitulah rezeki aku. Akan aku pergi juga bila tiba masanya. Cuba membina hidup baru melupakan semua yang telah berlaku dan membiarkan ianya berlalu bersama masa yang tidak perlu aku kisahkan lagi. Jatuh bangun aku, sakit pening aku, hanya aku yang tanggung dan rasai, itulah kenyataan yang tidak mampu untuk dielakkan, selagi nyawa dikandung badan.

Terkadang aku sendiri tak menyangka, apa yang aku hadapi, aku alami, aku rasai, aku lalui, perjalanan hidup ini hanya Allah yang tahu dan mahu menduga makhluknya, aku tidak menyesal dengan keputusan yang aku buat, tapi terkadang aku kesal mengapa perlu berlaku. Disini aku pelajari tentang kehidupan, belajar hadapi apa jua yang datang dan mengenali sikap manusia yang pelbagai, walau adakalanya ditemani air mata kerana tak mampu untuk berbuat apa-apa.

Apa yang berlaku juga banyak mengajar aku untuk membuat pilihan, sentiasa berhati-hati dan yang lebih penting, mematangkan diri untuk menghadapi semuanya. Demi meneruskan kehidupan ini, ada perancangan untuk masa depan yang lebih baik, semua manusia ingin menjadi lebih baik dari semalam. Sendiri tidak bererti tidak akan berjaya, tidak semestinya sentiasa kecewa, dan tidak semestinya di takuk yang lama.

Dengan tekad dan niat akan aku cuba usaha untuk mengubah kehidupan ini, hasilnya nanti aku sendiri akan nikmati, semoga usaha ikhlas untuk keluarga kecil ini diberkati dan dirahmati Ilahi, dan semoga aku dilindungi dari mara bahaya sikap manusia. Aku ingin bahagia biarpun aku sendiri bersama anak yang aku sayangai. Selebihnya aku hanya berserah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan